Universiti Curtin Miri tuan rumah Spartan Sarawak 2023

on
Categories: News & Media

Datuk Sebastian Ting (tengah) menyaksikan penyerahan document antara Carter Wei, Pengerusi Penganjur KFA (kanan Datuk Sebastian) dan Professor Simon Leunig, Pro-Naib Canselor, Presiden dan Ketua Eksekutif Universiti Curtin (kiri Sebastian Ting). Foto: TVS

MIRI, 9 Feb: Universiti Curtin Miri bakal menjadi tuan rumah untuk Spartan Sarawak 2023 yang akan berlangsung pada tahun ini.

Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan negeri, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew berkata, pihaknya yakin acara berkenaan yang melibatkan perlumbaan lari berhalangan terbesar bakal menarik penyertaan ramai peserta termasuk dari luar negara.

Katanya, ini bakal menjadikan bandar raya kedua terbesar di Sarawak itu lebih dikenali di peringkat antarabangsa.

“Penganjur telah berjaya menganjurkan lebih 250 acara dalam tempoh setahun di lebih 40 negara yang membawa masuk jutaan peserta.

“Apabila perlumbaan seperti ini berpusat di sini, sudah tentu Miri akan dikenali di seluruh dunia di mana kita mempromosikan Miri sebagai tempat Perlumbaan Spartan untuk 2023. Terima kasih kepada pengerusi penganjur, Carter Wei dan juga Pro Naib Canselor, Presiden dan Ketua Eksekutif Universiti Curtin, Professor Simon Leunig kerana memilih Universiti Curtin di Miri sebagai tuan rumah,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Sidang Media Spartan Sarawak 2023 di Universiti Curtin pada hari ini.

Spartan Sarawak 2023 menampilkan dua kategori utama iaitu super dengan perlumbaan 10 kilometer (km) membabitkan 25 halangan dan sprint dengan perlumbaan sejauh lima km dengan 20 halangan.

Selain itu, turut akan diadakan Spartan Kids Race bagi jarak 800 meter, 1.6 km dan 3.2 km untuk kanak-kanak berumur lima hingga 14 tahun.

Sementara itu, Sebastian berkata, berdasarkan kedudukan Miri yang berdekatan dengan Brunei, Sabah dan Indonesia, penganjur menjangkakan penyertaan lebih 2,000 pelari.

Perlumbaan Spartan Sarawak 2023 akan berlangsung pada 6 Mei 2023. -TVS

 

 

 

 

 

0